Showing posts with label Eksotik. Show all posts
Showing posts with label Eksotik. Show all posts

Wednesday, February 20, 2013

Protea, Protea, Proteus!

Principal Flora Academy telah pun mengembara ke tanah Afrika Utara untuk tempoh dua minggu. Jika ada utara, pastinya ada selatan. Maka yang demikian, kita berkenalan dengan bunga asal dari Afrika Selatan, Protea. Protea dikatakan sejenis tumbuh-tumbuhan berbunga tertua wujud di muka bumi dan saintis menganggarkan bunga eksotik ini telah pun wujud sejak 300 juta tahun lepas. Dikatakan terdapat lebih kurang 329 spesies Protea di Afrika Selatan. Untuk pengetahuan semua, Protea telah dibahagikan pada 17 spesies mengikut seksyen-seksyen tertentu. Memandangkan fizikal bunganya yang amat unik, bunga ini pilihan tepat bagi menghasilkan gubahan bunga eksotik. Bersandarkan pada tekstur, warna dan rupa menarik, ramai mendambakannya lalu membuat bunga ini popular sebagai salah satu bunga keratan yang turut diperdagangkan di seluruh dunia.


 Keberanian dan kepelbagaian menjadi simbolik atau maksud yang dibawa Protea berdasarkan kisah mitos Greek kuno; Proteus anak dewa Poseidon. Bunga ini mempunyai jangka hayat lama jika ditempatkan di dalam bekas berair. Bagi menggandakan tempoh kesegarannya, buang semua daun atau elakkan daunnya turut terendam di dalam air. Praktikkan juga penggunaan cecair peluntur bagi memastikan tiada pertumbuhan alga di dalam air. Protea turut boleh didapati di Australia dan Hawaii.
Kreativiti tiada batasnya dan menggunakan bunga ini, pelbagai jenis gubahan bunga boleh dihasilkan samada bunga untuk dekorasi kediaman atau majlis, bunga pegang pengantin dan lain-lain. Sekadar perkongsian bermanfaat untuk semua, Flora Academy ada mengadakan dua kursus gubahan bunga; Gubahan Bunga Artistik & Gubahan Bunga Tropika yang mungkin menggunakan Protea sebagai salah satu bunga pilihan di samping kehebatan bunga tempatan seperti Alpinia Purpurata, helikonia dan sebagainya. 
Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi/ Inquiries, please call us at: Flora Academy Sdn. Bhd. Suite 2.08, Tingkat 2, The AmpWalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 03-2166 8090 E-mail: floraacademy2011@gmail.com Facebook: http://www.facebook.com/FloraAcademy

Monday, November 12, 2012

Kobis Ornamental



Kobis ornamental atau nama botaninya, Brassica oleracea selalu menjadi pilihan utama kepada floral designer atau florist yang gemarkan gubahan bunga unik. Brassica oleracea ditempatkan di dalam dua kumpulan berbeza, Capitata group dan Acephala Group. Sekalipun ia sejenis sayur-sayuran dan tergolong dalam genus Brassica, namun ia lebih popular dijadikan pelengkap kepada gubahan bunga kerana warna dan tekstur daunnya. Selain daripada warna ungu, ia turut sedia dalam warna merah jambu, merah dan putih. Suhu memainkan peranan paling penting bagi menentukan kecantikan warna daunnya. Makin sejuk suhu, makin bertambahlah kepekatan warnanya. Memetik laporan daripada British Broadcasting Corporation (BBC), kobis spesies ini (muda) boleh dimakan namun rasanya mungkin agak pahit atau kelat (strong). Untuk pengetahuan semua, tanaman ini berasal dari kawasan pantai Eropah Barat. Jenis Brassica oleracea yang lain adalah kale, brokoli, bunga kobis (cauliflower), kai-lan, German turnip  dan Brussels sprout. Namun setiap satunya adalah dari kumpulan yang berbeza-beza.

Tuesday, November 06, 2012

Bunga Alam Syurgawi

Bird of Paradise. Ia turut dipanggil Strelitzia. Manakala, nama botaninya adalah Strelitzia reginae. Bunga bersifat perennials (saka; mampu hidup lebih dari dua tahun) ini adalah dari keluarga Strelitziaceae. Tetapi mengapakah tanaman atau bunga ini digelar Bird of Paradise? Jelas dari penampilan fizikal bunga ini, ia seakan-akan kelihatan seperti burung Cenderawasih atau dalam bahasa Inggeris disebut Bird of Paradise. Bunga asal dari Afrika Selatan ini sering mengelirukan peminat seni landskap tempatan dengan memanggilnya dengan nama Helikonia. Untuk pengetahuan, kedua-dua tanaman ini adalah berbeza dan tiada kena-mengena antara satu sama lain. Bird of paradise adalah dari keluarga Strelitziaceae manakala Helikonia pula adalah dari keluarga Heliconiaceae.