"Eh, cantiknya. Saya seperti tidak percaya saya yang buat," ucap Marsita sebaik sahaja gubahan bunga meja kopi yang dihasilkannya siap.
Matanya bersinar-sinar seolah-olah menggambarkan betapa seronoknya dia menikmati sesi pembelajaran kelas ketika itu. Tidak melepaskan peluang dan momen indah itu, Marsita terus mencapai telefon bimbit yang diletakkannya di bawah meja lalu merakamkan gambar gubahan bunga yang telah dihasilkannya. Senyum lebar terukir dibibirnya menandakan hatinya puas dapat mempelajari cara bagaimana menggubah bunga dengan cara betul berbekalkan tunjuk ajar tenaga pengajar Academy.
Perjalanan kelas hari itu terus bertambah rancak dengan kehadiran penasihat Academy, Encik Razak Ahmad. Seterusnya ini membuatkan Marsita dan para pelajar lain begitu teruja untuk mengikuti kelas sehingga petang. Usai kelas, masing-masing gembira bukan kepalang kerana tersedia dua gubahan bunga segar di dalam pasu berbentuk menarik untuk dibawa pulang.