Showing posts with label bunga tahan lama. Show all posts
Showing posts with label bunga tahan lama. Show all posts

Monday, December 24, 2012

Krismas Hijau Merah

Kredit gambar: http://www.pauleckepoinsettias.com/
Mood Krismas. Sudah pastinya tanaman hiasan berdaun hijau merah, Poinsettia menjadi pilihan ramai. Poinsettia atau nama botaninya, Euphorbia pulcherrima dikatakan asal dari Mexico dan juga kawasan Amerika tengah. Nama Poinsettia diambil bersempena nama seorang menteri Amerika Syarikat yang ditugaskan ke Mexico, Joel Roberts Poinsett. Beliau telah memperkenalkan tanaman ini di bumi Uncle Sam pada tahun 1825. Selain daripada warna merah terang, daunnya juga boleh berubah pada warna jingga, hijau muda, krim dan merah jambu. Tanaman ini mula popular apabila salah seorang dari ahli keluarga Ecke; Paul Ecke, Jr. (The Paul Ecke Ranch) mengirimkan tanaman ini ke stesen-stesen televisyen untuk hiasan sewaktu Krismas pada tahun-tahun 1900-an. 
Kredit gambar: http://www.pauleckepoinsettias.com/
Teknik Penjagaan Poinsettia: 
1. Tempatkan tanaman ini di sudut yang tidak mendapat cahaya matahari secara terus sekurang-kurangnya enam jam sehari. 
2. Siram apabila tanahnya mula kelihatan kering. 
3. Jangan biarkan tanahnya terendam. 

Tuesday, April 03, 2012

"Aspirin; Aku Sudah Tidak Percaya Padamu Lagi..."

Menerusi filem City of Glass (1998) lakonan pelakon simbol seks Hong Kong, Shu Qi dan pelakon tampan, Leon Lai ada memaparkan penggunaan pil aspirin untuk menambah jangka hayat bunga mawar di dalam pasu berisi air. Adakah anda percaya ia satu tindakan betul bagi memanjangkan kesegaran bunga-bungaan keratan (cut flower) khususnya yang diletakkan di dalam pasu berair? 
Usah percaya kerana itu bohong semata-mata. Ketahuilah bahawa penggunaan aspirin tidak akan membawa sebarang faedah untuk menambah kesegaran bunga. Banyak eksperimen telah dijalankan dan terbukti pil aspirin (menerusi unsur asid salicylic yang terdapat di dalamnya) hanya mampu mengelak air di dalam pasu menjadi keruh sahaja. Maka yang demikian, gunakanlah kaedah paling asas; mengganti air dan mengerat hujung batang bunga selang dua hari sekali. Untuk tujuan sama, anda juga boleh menggunakan serbuk makanan bunga (flower food) seperti Floralife dan Chrysal jika mahu. Penggunaan flower food akan menambah jangka hayat bunga keratan sebanyak 50 peratus. Unsur gula di dalam serbuk tersebut turut membantu bunga mengekalkan warnanya selain membekalkan nutrien. Sekiranya anda tidak mahu berbelanja lebih, apa kata gunalah gula pasir yang telah dilarutkan sebagai alternatif.   
        

Monday, April 02, 2012

Rahsia Bunga Keratan Tahan Lebih Lama.

Bunga akan cepat layu dan rosak
jika terus digubah tanpa melalui
proses prep terlebih dahulu. 
Prep (preparation) atau penyediaan bunga-bungaan keratan (termasuklah daun-daun) sebelum digubah adalah proses sangat penting. Perkara ini tidak boleh diabaikan dan dipandang remeh. Sekiranya 'pantang larang' ini dilanggar, bunga-bungaan tersebut pasti cepat layu. 
Sebaik sahaja tiba di rumah, bunga-bungaan yang dibeli tadi perlulah dikeluarkan dari kotak atau pembungkusnya dengan segera. Saat ini juga, anda mesti sudah memutuskan gubahan bagaimana yang hendak dibuat kerana ini akan memudahkan lagi proses penyediaan bunga dan seterusnya, menjimatkan masa. 
Gunakan gunting tajam dan kerat bahagian bawah batang bunga pada satah 45 darjah. Ini bertujuan untuk menambah lebih banyak ruang pada permukaan bahagian bawah batang bunga supaya air dapat diserap dengan mudah. Rendamkannya di dalam air bersih sekurang-kurangnya untuk tempoh masa selama dua jam dan adalah lebih baik jika air tersebut dicampurkan bersama serbuk makanan bunga (flower food). Buang semua daun-daun tidak diperlukan agar kuntuman-kuntuman bunga mendapat bekalan air secukupnya tanpa perlu berkongsi. Tindakan ini akan memastikan bunga-bungaan yang digubah tahan lebih lama dan fizikalnya pula sentiasa berada pada tahap cemerlang. Jika gubahan menggunakan teknik direct water, keratlah kira-kira seinci dua bahagian bawah batang bunga selang beberapa hari. Gantikan juga air sedia ada di dalam pasu dengan air baru. Langkah ini akan membantu gubahan bunga tahan untuk tempoh masa berganda. Amalan berbisik pada bunga-bungaan yang digubah dengan kata-kata penuh berharap supaya ia berada pada tahap terbaik adalah satu perkara sia-sia. 


Lebih banyak lagi panduan berkaitan penyediaan dan gubahan bunga bakal anda ketahui hanya di Flora Academy. Ayuh, usah berlengah lagi. Mendaftarlah segera kerana di sinilah medan sebenar seni gubahan bunga.