Saturday, April 14, 2012

Harian Metro. Variasi. Sabtu. 14 April 2012.

Sepanjang April saban tahun, setiausaha dan individu yang terbabit dalam urusan pentadbiran sesebuah pejabat diraikan menerusi sambutan Hari Setiausaha atau Hari Pengurusan Profesional.
Pemberian gubahan bunga bersesuaian juga antara langkah paling bijak dan berupaya menaikkan semangat moral dan produktiviti ke tahap lebih baik serta dilihat lebih ekonomi.
Malah setiausaha bukan saja perlu tampil menarik, kemas dan cantik melalui pakaian yang dipakai tetapi juga meja kerja. Dekorasinya perlu menonjol setanding kehebatan, kepakaran dan ketangkasan golongan berkenaan menggalas tugas selama ini. Dalam melihat kecenderungan itu, Flora Academy berkongsi idea gubahan bunga khusus untuk ditempatkan di atas meja setiausaha.
 
 
Menurut Pengurus Komunikasinya, Mohd Azlan Jamaludin, setiap gubahan berkenaan mempunyai perlambangan tersendiri.

“Gubahan indah bunga kekwa hijau atau spider chrysanthemum dan orkid cymbidium kuning yang diletakkan dalam pasu rona hitam sebenarnya memberikan makna hebat dan menceriakan suasana.

“Setiausaha atau kakitangan kerajaan yang gemarkan gaya penampilan ringkas, dekoratif bunga saiz kecil molek seperti ini sesuai dijadikan penyeri meja kerja,” katanya.

Sementara gabungan bunga lili kuning, orkid cymbidium putih, mawar putih sebagai fokus gubahan pula membawakan mesej ketegasan dan ketulusan seseorang. Diserikan pula dengan daun jenjuang, bunga teluki atau spray carnation dan kekwa putih selain menjadi ‘pemanis’ gubahan.

Serlahkan kombinasi bunga-bungaan berkenaan dan tempatkan ia dalam pasu putih berpetak. Terjemahan seni keindahan bunga-bungaan segar terus ditampilkan menerusi rekaan gubahan moden meja setiausaha yang selari dengan dekorasi gaya sama.

“Penggunaan batang daun papyrus menjadi fokus utama selain diserikan dengan bunga orkid cymbidium dan anthurium putih. “Gubahan bunga ini pastinya sesuai untuk kakitangan pentadbiran atau setiausaha dari golongan lelaki. Struktur menegak yang ditampilkan memberi imej maskulin, lasak dan tegas,” Kata Mohd Azlan.

Uniknya, gubahan artistik pula khusus kepada setiausaha berjiwa seni, halus dan melankolik.  Rekaan yang menampilkan akar kayu membawa gambaran Nusantara. Ia kemudiannya diperhalusi lagi dengan penggunaan bunga mawar merah bagi menambah elemen feminin romantis. Turut menyerikan gubahan hebat ini adalah bunga kekwa hijau, dedaun jenjuang, dan bunga eustoma russellianum.

Bagaimanapun, keadaan reka bentuk meja juga perlu diambil kira supaya gubahan yang diletakkan benar-benar menarik sepanjang masa.

“Sekiranya meja kerja memiliki banyak barang memadailah gubahan bunga bersaiz sederhana atau kecil sebagai penyeri. Namun rekaannya perlulah hebat bagi memberikan impak berkesan.

“Tempatkan gubahan bunga segar di ruang atau sudut yang tidak mendapat cahaya matahari secara langsung. Ini adalah untuk memastikan penampilan bunga tersebut tahan lebih lama,” kata Mohd Azlan.

Jika ruang atau bilik besar, gubahan bunga bersaiz sederhana elok digunakan bagi mengimbangi keadaan suasana. Namun begitu, reka letak gubahan bunga berkenaan perlulah diberikan tumpuan bagi mengelakkan kecelaruan laluan pergerakan. Bagi anda yang menggemari gubahan bunga saiz besar dan bergaya dramatik, sebaik-baiknya elakkan daripada menempatkannya di ruang kerja saiz terhad atau mempunyai elemen dekorasi yang keterlaluan.

Seterusnya, jika gubahan bunga diletakkan di dalam pasu berair pastikan setiap hujung batang bunga dikerat serong dan airnya diganti selang dua atau tiga hari. Ini bertujuan untuk memaksimumkan lagi daya tahan bunga tersebut berbanding kebiasaannya.

Gunakanlah pasu atau bekas mudah selenggara dan gubahan bunga ringkas sekiranya mahu gubahan itu senang dialihkan. Saiz perabot atau meja kerja perlu bersesuaian dengan saiz pasu, warna dan gubahan bunga bagi menghasilkan dekorasi yang baik serta seimbang.

Masih banyak lagi tip atau panduan boleh didapati di Flora Academy di Suite 2.08, Tingkat dua The Ampwalk, 218, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Anda juga boleh layari facebook Flora Academy atau blog www.floraacademy.blogspot.com untuk maklumat lebih lanjut.

0 comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komen atau sebarang pesanan untuk peningkatan prestasi Flora Academy. Terima kasih.