Friday, April 13, 2012

Utusan Malaysia. Mode.

Terima kasih buat wartawan Siti Aishah Yusof dari meja keluarga, Utusan Malaysia. Jurufoto Ridwan. Tidak ketinggalan, Norazlina Jamaludin juga wartawan di Utusan Malaysia.

Wednesday, April 11, 2012

Eustoma Di Hati Kita.

Eustoma grandiflora. Ia turut dikenali dengan nama Bluebell, Showy prairie gentian, The bolero deep blue dan juga Lisianthus. Eustoma mempunyai daun berkilat dan kuntuman bunga berbentuk loceng. Eustoma banyak terdapat di kawasan bersuhu sederhana panas Amerika Syarikat, Mexico, Carribean dan utara Amerika Selatan. Dalam bahasa Greek, frasa Eu membawa makna elok manakala stoma pula bererti mulut. Secara tidak langsung Eustoma terus diterjemahkan sebagai 'wajah molek'.  
Di dalam industri bunga keratan, bunga yang tak ubah seperti bunga mawar ini turut popular sebagai bunga pilihan untuk dijadikan gubahan bunga. Selain daripada fizikal kuntuman bunga menarik dan warnanya yang terang, batang yang panjang melayakkannya diangkat sebagai salah satu bunga keratan.  

Kredit foto: Japanbloom.net 

Tuesday, April 10, 2012

Kerat Potong Bunga Keratan.

Ladang bunga Elite, Colombia yang memperdagangkan bunga daisi Gerbera.


Hydrangea macrophylla, mawar, teluki, kekwa, lili, Matthiola incana, matahari, Gladiolus spp. dan orkid merupakan antara bunga keratan popular yang diperdagangkan di serata dunia. Industri bunga keratan merekodkan bahawa bunga mawar adalah bunga paling banyak dijual beli. Sekadar berkongsi maklumat, pada tahun 2007 industri bunga keratan di UK berjumlah £2 billion. Tahukah anda apa itu bunga keratan? Bunga keratan membawa maksud bunga yang siap dipotong dari pokok induknya untuk terus diguna atau dijadikan gubahan. Kebanyakan bunga-bungaan keratan merupakan pilihan popular untuk dijadikan sebagai pemberian untuk majlis-majlis keraian tertentu. Bunga keratan perlulah menepati beberapa kritirea tertentu untuk layak dilabelkan sebagai bunga keratan. Kritirea-kritirea tersebut adalah memiliki keindahan dan tarikan tersendiri, menghasilkan bau harum, mempunyai batang panjang dan jangka hayat lama jika dijadikan gubahan. 

Kredit foto: rafrogblogus.wordpress.com (Rainforest alliances)       

Monday, April 09, 2012

Tropika o, la la...

Sesi fotografi untuk akhbar Utusan Malaysia hari ini, Flora Academy telah menghasilkan gubahan bunga tropika menggunakan bunga-bungaan seperti Alpinia purpurata dan Heliconia spp.  Gubahan bersaiz sederhana besar ini khusus untuk ditempatkan pada sudut tepi di mana-mana ruang bersesuaian.

Thursday, April 05, 2012

Seluas Angkasa

Terima kasih tidak berpenghujung kepada semua para pelanggan Flora, etc... sejak hari pertama kami beroperasi sehinggalah kini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan niaga kami. Khamis 12 April 2012 Flora, etc... akan bersiaran di MHI (Malaysia Hari Ini@TV3). Saksikannya bersama...

Tuesday, April 03, 2012

"Aspirin; Aku Sudah Tidak Percaya Padamu Lagi..."

Menerusi filem City of Glass (1998) lakonan pelakon simbol seks Hong Kong, Shu Qi dan pelakon tampan, Leon Lai ada memaparkan penggunaan pil aspirin untuk menambah jangka hayat bunga mawar di dalam pasu berisi air. Adakah anda percaya ia satu tindakan betul bagi memanjangkan kesegaran bunga-bungaan keratan (cut flower) khususnya yang diletakkan di dalam pasu berair? 
Usah percaya kerana itu bohong semata-mata. Ketahuilah bahawa penggunaan aspirin tidak akan membawa sebarang faedah untuk menambah kesegaran bunga. Banyak eksperimen telah dijalankan dan terbukti pil aspirin (menerusi unsur asid salicylic yang terdapat di dalamnya) hanya mampu mengelak air di dalam pasu menjadi keruh sahaja. Maka yang demikian, gunakanlah kaedah paling asas; mengganti air dan mengerat hujung batang bunga selang dua hari sekali. Untuk tujuan sama, anda juga boleh menggunakan serbuk makanan bunga (flower food) seperti Floralife dan Chrysal jika mahu. Penggunaan flower food akan menambah jangka hayat bunga keratan sebanyak 50 peratus. Unsur gula di dalam serbuk tersebut turut membantu bunga mengekalkan warnanya selain membekalkan nutrien. Sekiranya anda tidak mahu berbelanja lebih, apa kata gunalah gula pasir yang telah dilarutkan sebagai alternatif.   
        

Monday, April 02, 2012

Rahsia Bunga Keratan Tahan Lebih Lama.

Bunga akan cepat layu dan rosak
jika terus digubah tanpa melalui
proses prep terlebih dahulu. 
Prep (preparation) atau penyediaan bunga-bungaan keratan (termasuklah daun-daun) sebelum digubah adalah proses sangat penting. Perkara ini tidak boleh diabaikan dan dipandang remeh. Sekiranya 'pantang larang' ini dilanggar, bunga-bungaan tersebut pasti cepat layu. 
Sebaik sahaja tiba di rumah, bunga-bungaan yang dibeli tadi perlulah dikeluarkan dari kotak atau pembungkusnya dengan segera. Saat ini juga, anda mesti sudah memutuskan gubahan bagaimana yang hendak dibuat kerana ini akan memudahkan lagi proses penyediaan bunga dan seterusnya, menjimatkan masa. 
Gunakan gunting tajam dan kerat bahagian bawah batang bunga pada satah 45 darjah. Ini bertujuan untuk menambah lebih banyak ruang pada permukaan bahagian bawah batang bunga supaya air dapat diserap dengan mudah. Rendamkannya di dalam air bersih sekurang-kurangnya untuk tempoh masa selama dua jam dan adalah lebih baik jika air tersebut dicampurkan bersama serbuk makanan bunga (flower food). Buang semua daun-daun tidak diperlukan agar kuntuman-kuntuman bunga mendapat bekalan air secukupnya tanpa perlu berkongsi. Tindakan ini akan memastikan bunga-bungaan yang digubah tahan lebih lama dan fizikalnya pula sentiasa berada pada tahap cemerlang. Jika gubahan menggunakan teknik direct water, keratlah kira-kira seinci dua bahagian bawah batang bunga selang beberapa hari. Gantikan juga air sedia ada di dalam pasu dengan air baru. Langkah ini akan membantu gubahan bunga tahan untuk tempoh masa berganda. Amalan berbisik pada bunga-bungaan yang digubah dengan kata-kata penuh berharap supaya ia berada pada tahap terbaik adalah satu perkara sia-sia. 


Lebih banyak lagi panduan berkaitan penyediaan dan gubahan bunga bakal anda ketahui hanya di Flora Academy. Ayuh, usah berlengah lagi. Mendaftarlah segera kerana di sinilah medan sebenar seni gubahan bunga.