Friday, April 27, 2012

Komen Izara Aishah Tentang Gubahan Bunga Flora Academy




" Gubahan bunga yang dihasilkan oleh Flora Academy jelas unik dan bagi Izara ia bukan dibuat main-main atau sekadar melepaskan batuk ditangga." - Izara Aishah, pelakon dan model terkenal. 
Izara memegang bunga pegang pengantin (bridal bouquet) bergaya posy yang menggunakan kuntuman bunga orkid Cymbidium kuning dan gugusan bunga Hydrangea hijau. 

Kenapa Flora Academy pilihan saya?


"Saya Norhayati Abd. Latif dan kini menetap di Tawau, Sabah. Di sini, saya mengendalikan sebuah syarikat andaman dan butik perkahwinan. Maka yang demikian, tugas-tugas saya banyak berkait rapat dengan gubahan bunga dan bagi memantapkan lagi ilmu gubahan bunga, saya tidak kisah untuk terbang ke Semenanjung untuk berguru dengan yang pakar. Apalah sangat kalau jauhnya beribu batu waima berpuluh ribu batu pun dan berhabis semata-mata untuk mendapatkan ilmu. Bagi saya ilmu yang saya perolehi di sini dapat dimanfaatkan untuk memperbaiki teknik dan menambah pengetahuan sedia ada. Lagipun ia adalah ilmu yang boleh diwarisi dan ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi. Bagi saya pembukaan Flora Academy adalah satu perkara wajar dan tepat dengan masanya. Apatah lagi ia milik guru gubahan bunga bertaraf dunia, Razak Ahmad, " terang pemilik syarikat pengurusan majlis perkahwinan Hati Ke Hati ini.


"Di sini, saya banyak didedahkan dengan cara betul mengendalikan bunga dan menyediakannya sebelum ia digubah. Sekarang, baru saya sedar dengan mengaplikasikan teknik tepat, barulah bunga-bunga yang digunakan dapat tahan lebih lama dari biasa. Owh, Flora Academy, terima kasih banyak-banyak kerana membantu saya memahaminya. 

Selain daripada itu, saya dan pelajar lain turut didahkan dengan bentuk gubahan bersesuaian, warna, penggunaan aksesori dan sebagainya. Makanan dan minuman yang disediakan pun memang sedap. Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada mereka yang berminat untuk mendalami ilmu gubahan bunga segeralah mendaftar dengan Flora Academy kerana ia sangat berbaloi!," luah wanita beranak tiga ini jujur.    

Razak Ahmad; Aksi di-Raja




Kesempatan yang ada tidak dilepaskan begitu sahaja. Kamera di tangan terus dihalakan pada 'guru besar' Academy ini yang ketika sedang sibuk membetulkan salah satu gubahan untuk kerabat di-Raja. 

Ketekunan dan ghairah seninya menggubah bunga jelas terpancar di wajah hinggakan  sepatah komen pun tidak terucap dek saya terhadap aksinya. Takut pula hendak bertanya apa-apa memandangkan matanya tak berkelip-kelip menggubah bunga. Tapi jangan pula ada yang menyangkakan Razak Ahmad garang kerana itu bukan personaliti dirinya.  

















Gubahan yang dibuat menampilkan bunga mawar merah, orkid Cymbidium kuning, Hydrangea hijau dan beberapa lain khusus untuk ditempatkan di atas meja konsol.       




































Saturday, April 14, 2012

Facebook: Flora Academy

Kongsikan gambar-gambar gubahan bunga yang anda hasilkan atau anda miliki. Emelkannya ke floraacademy2011@gmail.com dan jika berkesempatan, lawatilah laman facebook Flora Academy dengan kata carian Flora Academy dan Flora Acdmy.

Harian Metro. Variasi. Sabtu. 14 April 2012.

Sepanjang April saban tahun, setiausaha dan individu yang terbabit dalam urusan pentadbiran sesebuah pejabat diraikan menerusi sambutan Hari Setiausaha atau Hari Pengurusan Profesional.
Pemberian gubahan bunga bersesuaian juga antara langkah paling bijak dan berupaya menaikkan semangat moral dan produktiviti ke tahap lebih baik serta dilihat lebih ekonomi.
Malah setiausaha bukan saja perlu tampil menarik, kemas dan cantik melalui pakaian yang dipakai tetapi juga meja kerja. Dekorasinya perlu menonjol setanding kehebatan, kepakaran dan ketangkasan golongan berkenaan menggalas tugas selama ini. Dalam melihat kecenderungan itu, Flora Academy berkongsi idea gubahan bunga khusus untuk ditempatkan di atas meja setiausaha.
 
 
Menurut Pengurus Komunikasinya, Mohd Azlan Jamaludin, setiap gubahan berkenaan mempunyai perlambangan tersendiri.

“Gubahan indah bunga kekwa hijau atau spider chrysanthemum dan orkid cymbidium kuning yang diletakkan dalam pasu rona hitam sebenarnya memberikan makna hebat dan menceriakan suasana.

“Setiausaha atau kakitangan kerajaan yang gemarkan gaya penampilan ringkas, dekoratif bunga saiz kecil molek seperti ini sesuai dijadikan penyeri meja kerja,” katanya.

Sementara gabungan bunga lili kuning, orkid cymbidium putih, mawar putih sebagai fokus gubahan pula membawakan mesej ketegasan dan ketulusan seseorang. Diserikan pula dengan daun jenjuang, bunga teluki atau spray carnation dan kekwa putih selain menjadi ‘pemanis’ gubahan.

Serlahkan kombinasi bunga-bungaan berkenaan dan tempatkan ia dalam pasu putih berpetak. Terjemahan seni keindahan bunga-bungaan segar terus ditampilkan menerusi rekaan gubahan moden meja setiausaha yang selari dengan dekorasi gaya sama.

“Penggunaan batang daun papyrus menjadi fokus utama selain diserikan dengan bunga orkid cymbidium dan anthurium putih. “Gubahan bunga ini pastinya sesuai untuk kakitangan pentadbiran atau setiausaha dari golongan lelaki. Struktur menegak yang ditampilkan memberi imej maskulin, lasak dan tegas,” Kata Mohd Azlan.

Uniknya, gubahan artistik pula khusus kepada setiausaha berjiwa seni, halus dan melankolik.  Rekaan yang menampilkan akar kayu membawa gambaran Nusantara. Ia kemudiannya diperhalusi lagi dengan penggunaan bunga mawar merah bagi menambah elemen feminin romantis. Turut menyerikan gubahan hebat ini adalah bunga kekwa hijau, dedaun jenjuang, dan bunga eustoma russellianum.

Bagaimanapun, keadaan reka bentuk meja juga perlu diambil kira supaya gubahan yang diletakkan benar-benar menarik sepanjang masa.

“Sekiranya meja kerja memiliki banyak barang memadailah gubahan bunga bersaiz sederhana atau kecil sebagai penyeri. Namun rekaannya perlulah hebat bagi memberikan impak berkesan.

“Tempatkan gubahan bunga segar di ruang atau sudut yang tidak mendapat cahaya matahari secara langsung. Ini adalah untuk memastikan penampilan bunga tersebut tahan lebih lama,” kata Mohd Azlan.

Jika ruang atau bilik besar, gubahan bunga bersaiz sederhana elok digunakan bagi mengimbangi keadaan suasana. Namun begitu, reka letak gubahan bunga berkenaan perlulah diberikan tumpuan bagi mengelakkan kecelaruan laluan pergerakan. Bagi anda yang menggemari gubahan bunga saiz besar dan bergaya dramatik, sebaik-baiknya elakkan daripada menempatkannya di ruang kerja saiz terhad atau mempunyai elemen dekorasi yang keterlaluan.

Seterusnya, jika gubahan bunga diletakkan di dalam pasu berair pastikan setiap hujung batang bunga dikerat serong dan airnya diganti selang dua atau tiga hari. Ini bertujuan untuk memaksimumkan lagi daya tahan bunga tersebut berbanding kebiasaannya.

Gunakanlah pasu atau bekas mudah selenggara dan gubahan bunga ringkas sekiranya mahu gubahan itu senang dialihkan. Saiz perabot atau meja kerja perlu bersesuaian dengan saiz pasu, warna dan gubahan bunga bagi menghasilkan dekorasi yang baik serta seimbang.

Masih banyak lagi tip atau panduan boleh didapati di Flora Academy di Suite 2.08, Tingkat dua The Ampwalk, 218, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Anda juga boleh layari facebook Flora Academy atau blog www.floraacademy.blogspot.com untuk maklumat lebih lanjut.

Friday, April 13, 2012

Utusan Malaysia. Mode.

Terima kasih buat wartawan Siti Aishah Yusof dari meja keluarga, Utusan Malaysia. Jurufoto Ridwan. Tidak ketinggalan, Norazlina Jamaludin juga wartawan di Utusan Malaysia.

Wednesday, April 11, 2012

Eustoma Di Hati Kita.

Eustoma grandiflora. Ia turut dikenali dengan nama Bluebell, Showy prairie gentian, The bolero deep blue dan juga Lisianthus. Eustoma mempunyai daun berkilat dan kuntuman bunga berbentuk loceng. Eustoma banyak terdapat di kawasan bersuhu sederhana panas Amerika Syarikat, Mexico, Carribean dan utara Amerika Selatan. Dalam bahasa Greek, frasa Eu membawa makna elok manakala stoma pula bererti mulut. Secara tidak langsung Eustoma terus diterjemahkan sebagai 'wajah molek'.  
Di dalam industri bunga keratan, bunga yang tak ubah seperti bunga mawar ini turut popular sebagai bunga pilihan untuk dijadikan gubahan bunga. Selain daripada fizikal kuntuman bunga menarik dan warnanya yang terang, batang yang panjang melayakkannya diangkat sebagai salah satu bunga keratan.  

Kredit foto: Japanbloom.net 

Tuesday, April 10, 2012

Kerat Potong Bunga Keratan.

Ladang bunga Elite, Colombia yang memperdagangkan bunga daisi Gerbera.


Hydrangea macrophylla, mawar, teluki, kekwa, lili, Matthiola incana, matahari, Gladiolus spp. dan orkid merupakan antara bunga keratan popular yang diperdagangkan di serata dunia. Industri bunga keratan merekodkan bahawa bunga mawar adalah bunga paling banyak dijual beli. Sekadar berkongsi maklumat, pada tahun 2007 industri bunga keratan di UK berjumlah £2 billion. Tahukah anda apa itu bunga keratan? Bunga keratan membawa maksud bunga yang siap dipotong dari pokok induknya untuk terus diguna atau dijadikan gubahan. Kebanyakan bunga-bungaan keratan merupakan pilihan popular untuk dijadikan sebagai pemberian untuk majlis-majlis keraian tertentu. Bunga keratan perlulah menepati beberapa kritirea tertentu untuk layak dilabelkan sebagai bunga keratan. Kritirea-kritirea tersebut adalah memiliki keindahan dan tarikan tersendiri, menghasilkan bau harum, mempunyai batang panjang dan jangka hayat lama jika dijadikan gubahan. 

Kredit foto: rafrogblogus.wordpress.com (Rainforest alliances)       

Monday, April 09, 2012

Tropika o, la la...

Sesi fotografi untuk akhbar Utusan Malaysia hari ini, Flora Academy telah menghasilkan gubahan bunga tropika menggunakan bunga-bungaan seperti Alpinia purpurata dan Heliconia spp.  Gubahan bersaiz sederhana besar ini khusus untuk ditempatkan pada sudut tepi di mana-mana ruang bersesuaian.

Thursday, April 05, 2012

Seluas Angkasa

Terima kasih tidak berpenghujung kepada semua para pelanggan Flora, etc... sejak hari pertama kami beroperasi sehinggalah kini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan niaga kami. Khamis 12 April 2012 Flora, etc... akan bersiaran di MHI (Malaysia Hari Ini@TV3). Saksikannya bersama...

Tuesday, April 03, 2012

"Aspirin; Aku Sudah Tidak Percaya Padamu Lagi..."

Menerusi filem City of Glass (1998) lakonan pelakon simbol seks Hong Kong, Shu Qi dan pelakon tampan, Leon Lai ada memaparkan penggunaan pil aspirin untuk menambah jangka hayat bunga mawar di dalam pasu berisi air. Adakah anda percaya ia satu tindakan betul bagi memanjangkan kesegaran bunga-bungaan keratan (cut flower) khususnya yang diletakkan di dalam pasu berair? 
Usah percaya kerana itu bohong semata-mata. Ketahuilah bahawa penggunaan aspirin tidak akan membawa sebarang faedah untuk menambah kesegaran bunga. Banyak eksperimen telah dijalankan dan terbukti pil aspirin (menerusi unsur asid salicylic yang terdapat di dalamnya) hanya mampu mengelak air di dalam pasu menjadi keruh sahaja. Maka yang demikian, gunakanlah kaedah paling asas; mengganti air dan mengerat hujung batang bunga selang dua hari sekali. Untuk tujuan sama, anda juga boleh menggunakan serbuk makanan bunga (flower food) seperti Floralife dan Chrysal jika mahu. Penggunaan flower food akan menambah jangka hayat bunga keratan sebanyak 50 peratus. Unsur gula di dalam serbuk tersebut turut membantu bunga mengekalkan warnanya selain membekalkan nutrien. Sekiranya anda tidak mahu berbelanja lebih, apa kata gunalah gula pasir yang telah dilarutkan sebagai alternatif.   
        

Monday, April 02, 2012

Rahsia Bunga Keratan Tahan Lebih Lama.

Bunga akan cepat layu dan rosak
jika terus digubah tanpa melalui
proses prep terlebih dahulu. 
Prep (preparation) atau penyediaan bunga-bungaan keratan (termasuklah daun-daun) sebelum digubah adalah proses sangat penting. Perkara ini tidak boleh diabaikan dan dipandang remeh. Sekiranya 'pantang larang' ini dilanggar, bunga-bungaan tersebut pasti cepat layu. 
Sebaik sahaja tiba di rumah, bunga-bungaan yang dibeli tadi perlulah dikeluarkan dari kotak atau pembungkusnya dengan segera. Saat ini juga, anda mesti sudah memutuskan gubahan bagaimana yang hendak dibuat kerana ini akan memudahkan lagi proses penyediaan bunga dan seterusnya, menjimatkan masa. 
Gunakan gunting tajam dan kerat bahagian bawah batang bunga pada satah 45 darjah. Ini bertujuan untuk menambah lebih banyak ruang pada permukaan bahagian bawah batang bunga supaya air dapat diserap dengan mudah. Rendamkannya di dalam air bersih sekurang-kurangnya untuk tempoh masa selama dua jam dan adalah lebih baik jika air tersebut dicampurkan bersama serbuk makanan bunga (flower food)Buang semua daun-daun tidak diperlukan agar kuntuman-kuntuman bunga mendapat bekalan air secukupnya tanpa perlu berkongsi. Tindakan ini akan memastikan bunga-bungaan yang digubah tahan lebih lama dan fizikalnya pula sentiasa berada pada tahap cemerlang. Jika gubahan menggunakan teknik direct water, keratlah kira-kira seinci dua bahagian bawah batang bunga selang beberapa hari. Gantikan juga air sedia ada di dalam pasu dengan air baru. Langkah ini akan membantu gubahan bunga tahan untuk tempoh masa berganda. Amalan berbisik pada bunga-bungaan yang digubah dengan kata-kata penuh berharap supaya ia berada pada tahap terbaik adalah satu perkara sia-sia. 


Lebih banyak lagi panduan berkaitan penyediaan dan gubahan bunga bakal anda ketahui hanya di Flora Academy. Ayuh, usah berlengah lagi. Mendaftarlah segera kerana di sinilah medan sebenar seni gubahan bunga.