Friday, March 30, 2012

Oh, Saya Tidak Percaya!


 Academy menerima kunjungan Puan Marsita sehari sebelum kelas bermula. Kehadirannya ditemani suami yang kelihatan masih kacak bergaya. Setelah selesai mendengar penerangan tentang kelas-kelas yang ditawarkan di Academy, wanita bertubuh kecil molek ini setuju untuk menyertai kelas 'Kursus Gubahan Bunga Asas Dekorasi Ruang Kediaman 1' keesokkan harinya. 

"Eh, cantiknya. Saya seperti tidak percaya saya yang buat," ucap Marsita sebaik sahaja gubahan bunga meja kopi yang dihasilkannya siap. 


Matanya bersinar-sinar seolah-olah menggambarkan betapa seronoknya dia menikmati sesi pembelajaran kelas ketika itu. Tidak melepaskan peluang dan momen indah itu, Marsita terus mencapai telefon bimbit yang diletakkannya di bawah meja lalu merakamkan gambar gubahan bunga yang telah dihasilkannya. Senyum lebar terukir dibibirnya menandakan hatinya puas dapat mempelajari cara bagaimana menggubah bunga dengan cara betul berbekalkan tunjuk ajar tenaga pengajar Academy. 

 
Perjalanan kelas hari itu terus bertambah rancak dengan kehadiran penasihat Academy, Encik Razak Ahmad. Seterusnya ini membuatkan Marsita dan para pelajar lain begitu teruja untuk mengikuti kelas sehingga petang. Usai kelas, masing-masing gembira bukan kepalang kerana tersedia dua gubahan bunga segar di dalam pasu berbentuk menarik untuk dibawa pulang.          






Interior Academy.

Mementingkan keselesaan para pelajar, Flora Academy tidak ubah seperti sebuah hotel lima bintang. Ia terletak di dalam ibu pejabat syarikat induknya, Flora, etc... Suasana kelas kondusif dan disokong dengan alat bantu mengajar memudahkan para pelajar memahami nota. Sesi pembelajaran pastinya tambah seronok dengan sesi praktikal (langkah demi langkah) yang dipantau secara peribadi oleh tenaga pengajar (floral designer) terlatih.     

Daftarlah Hari Ini Juga.


Halo atau Hello?

Foto: Postcardsandpretties.blogspot.com
Perkataan hello muncul dan mula digunakan masyarakat dunia pada sekitar tahun 1833, seiring dengan wujudnya telefon. Adakah hello menggantikan perkataan halo? Oh, tidak sama sekali kerana hello dan halo adalah dua perkataan berbeza. Tetapi, apa itu halo sebenarnya... 
Foto: Beautylish.com
Halo merupakan aksesori kepala khususnya dipakai oleh flower girl, pengapit pengantin perempuan dan adakala turut dipakai oleh pengantin perempuan itu sendiri. Halo selalunya berbentuk lingkaran bulat dan selalunya diperbuat daripada dedaun dan bunga-bungaan yang diikat atau digubah sempurna pada wayar atau sebarang item bersesuaian. Halo atau hair wreath untuk kegunaan di majlis-majlis perkahwinan di dalam taman memberikan mood romantik. Ia turut menyuntik elemen indah dari kisah-kisah puteri raja dalam cerita dongeng Barat.   
Halo sebenarnya mengambil ilham bentuk bulat pada bahagian kepala figura-figura penting yang boleh dilihat pada kebanyakan hasil seni keagamaan Greek dan Rom kuno, Hindu, Buddha dan tidak ketinggalan Kristian. Tidak lain tidak bukan, ia mencadangkan satu gambaran imej suci.

Tahukah anda?: Pada tahun-tahun 1850 sehingga 1870 muncul satu amalan pelik yang dipraktikkan masyarakat Barat. Mereka cenderung menghasilkan lingkaran bulat saiz kecil dengan menjalin rambut milik saudara mara atau sahabat sebagai tanda persahabatan atau kasih sayang. 
           

Thursday, March 29, 2012

Perkongsian Ilmu.


Razak Ahmad.
Sejak zaman Mesir purba lagi, gubahan bunga telah mula dipraktikkan. Bunga-bungaan segar sering digubah di dalam pasu dan rekaan-rekaan hebat sentiasa menghiasi meja di ruang-ruang kediaman ketika itu. Bunga lotus, water lily, scilla biru, dan tidak ketinggalan mawar menjadi keutamaan. Perkembangan gubahan bunga ini kemudiannya terus menjalar ke zaman Byzantine dengan mempertaruhkan rekaan bentuk tiga segi, bunga-bungaan berwarna terang dan juga buah-buahan. Seterusnya, gubahan bunga-bungaan segar mula menular di bumi Eropah khsususnya ketika era Renaisancce Itali. Ketika inilah, pelbagai arah rekaan tercetus dan antara bunga-bungaan popular ketika ini adalah Madonna lily (lambang kesuburan), narcissus, iris, jasmine, pansies, French marigolds, cornflowers dan rosemary.

Bunga-bungaan segar tidak pernah sekali pun mengecewakan para penggemarnya. Kepelbagaian jenis, warna, rupa bentuk unik dan tersendiri jika digubah dengan sempurna mampu menjadi item dekorasi paling dominan di sesebuah ruang. Malah, kuasa yang dimiliki bunga-bungaan segar mampu mempengaruhi psikologi seseorang. Ini termasuklah dapat mengubah mood sedih menjadi ceria dan sebagainya. Melalui bunga-bungaan juga, memori semalam dapat digamit semula dan tidak ketinggalan bunga-bungaan juga berupaya menjana ekonomi. Berbelas tahun di dalam bidang gubahan bunga di peringkat antarabangsa khususnya di syarikat LA Premier(Amerika Syarikat), Razak Ahmad pemilik Flora Etceteras Sdn. Bhd. juga bergelar Principal floral designer kini mengalu-alukan peminat seni gubahan bunga untuk mendalami bidang ini di Flora Academy. Beliau ingin berkongsi ilmu berharga ini dengan semua agar ia dapat dimanfaatkan bukan sahaja sekadar untuk menghiasi ruang kediaman tetapi juga dapat dijadikan sebagai sumber menjana pendapatan sampingan.

Selamat datang ke Flora Academy.